Panduan ·
Mangkuk tandas goyang: kenapa bergoyang dan kenapa tapak dia bocor

Mangkuk tandas tak sepatutnya bergerak langsung. Kalau yang di rumah anda goyang walau sedikit, puncanya satu daripada tiga: bolt tapak dah longgar, lantai bawahnya tak rata sampai tapak tersangkut atas jubin tinggi, atau — paling biasa di rumah teres lama sekitar Serdang — lapisan mortar tempat mangkuk tu duduk dah retak. Dan goyangan tu sendiri yang jadikan tapak bocor: setiap kali ada orang duduk, pergerakan tu mengikis seal antara saluran mangkuk dengan paip lantai, sampai air kotor mula terlepas di bawah mangkuk setiap kali flush.
Yang buat ramai terlepas pandang: bocor jenis ni selalunya tak nampak. Airnya turun ke dalam bed jubin, bukan melimpah atas lantai. Bila dah terbau, jubin sebelah dah longgar, atau siap ada tompok di siling bawah untuk rumah dua tingkat dan apartment, maksudnya dia dah lama bocor senyap-senyap.
Mula-mula: pemasangan anda jenis mana?
- Mangkuk berbolt — ada dua penutup plastik kecil di kiri kanan tapak. Bawahnya bolt yang pegang mangkuk pada flange atau plug lantai. Biasa di kondo dan bilik air yang baru direnovate.
- Mangkuk simen — tiada penutup bolt langsung; tapak dilekat terus atas mortar. Macam inilah kebanyakan mangkuk rumah teres di Serdang, Seri Kembangan dan Kajang dipasang dari zaman 80-an sampai 2000-an: mangkuk duduk atas mortar, saluran disambung ke paip lantai dengan simen. Kalau jenis ni goyang, maksudnya mortar tu dah pecah — memang tiada bolt nak diketatkan, dan sambungan simen di saluran pun hampir pasti dah merekah sekali.
Ujian bau untuk seal yang dah rosak
Seal yang pecah bagi dua petanda sebelum air sempat nampak. Pertama, bau kumbahan paling kuat sejurus lepas flush — tekanan flush tolak udara longkang keluar ikut rekahan tu. Kedua, bau paling jelas waktu pagi atau lepas bilik air lama tertutup. Nak sahkan, titikkan sedikit pewarna makanan dalam tangki, flush, lap keliling tapak dengan tisu putih. Kalau ada warna naik, memang seal dah lepas air.
DIY dulu: shim dan ketatkan
- Untuk mangkuk berbolt, buka penutup dan ketatkan bolt kiri kanan selang-seli, suku pusingan setiap kali. Berhenti sebaik sahaja dah tak goyang — porselin boleh retak kalau dibelasah; ini bukan kerja kasar.
- Masih goyang? Selitkan shim plastik (ada di kedai hardware, bawah RM 20) di bahagian tapak yang tergantung, tekan sampai mangkuk betul-betul mati tak bergerak, potong lebihan rata dengan tapak.
- Jangan ganti dengan kadbod lipat atau serpihan kayu — benda tu mengempis dan reput, dua tiga bulan goyang balik.
Satu tip dari lapangan pasal silikon: bead silikon penuh keliling tapak ni penutup aib klasik, bukan pembaikan. Silikon tak pegang mangkuk pun — dia cuma sorokkan bocor dan perangkap air kotor di bawah. Kami pernah angkat mangkuk yang disilikon penuh keliling dan bahagian bawahnya rupanya dah berbulan terendam air kumbahan; satu-satunya petanda selama tu cuma bau. Kalau nak bead juga sebab nak kemas, tinggalkan bahagian belakang terbuka supaya bocor ada jalan nak tunjuk muka.
Bila dah bukan setakat ketatkan
| Simptom | Punca besar kemungkinan | Pembaikan dan anggaran |
|---|---|---|
| Goyang, tapi tiada bau atau kesan | Bolt longgar atau jubin tak rata | DIY shim dan ketatkan, bawah RM 20 |
| Goyang serta bau kumbahan lepas flush | Seal atau sambungan simen pecah | Angkat dan pasang semula, kerja paip RM 100–500 |
| Tapak asyik lembap, jubin sekeliling berbunyi kosong | Flange patah atau lantai dah mendap | Pasang semula serta baiki lantai; mangkuk lama yang dah retak mungkin perlu tukar terus |
| Tompok di siling bawah | Bocor dah sampai ke papak | Pasang semula serta semak waterproofing |
Pasang semula yang betul maksudnya mangkuk diangkat, mortar dan seal lama dibuang bersih, sambungan baru dibuat, dan mangkuk diratakan sampai mati — dua tiga jam kerja untuk tukang yang memang selalu buat.
Kenapa tak boleh biar je
Setiap goyangan buka rekahan tu sikit lagi, dan setiap flush hantar sedikit lagi air ke dalam screed. Biar lama-lama, kerja reset RM 100–500 bertukar jadi lantai tepu air dan kerja re-waterproofing RM 1,500–5,000. Rujuk panduan harga kami untuk lihat setiap jenis kerja jatuh di mana. Kami buat kerja macam ni setiap minggu sekitar Serdang, Seri Kembangan, Balakong, Kajang, Bangi dan Puchong — lihat senarai servis kalau nak kami datang tengok.
Ada masalah macam ni di rumah atau kedai anda?
WhatsApp-kan gambar — kami balas dengan jawapan jujur dalam 1 jam waktu bekerja. Kawasan Serdang, Seri Kembangan, Kajang & Puchong.
WhatsApp 013-940 0355